Bintulu

 

Sepintas Lalu

Perkampungan Nelayan menjadi Pusat Perindustrian

 

1861 - Kawasan pesisiran hingga Kidurong diserahkan kepada Sir James Brooke oleh Kesultanan Brunei

1867 - Mesyuarat Undangan Negeri yang pertama diadakan di Bintulu dipengerusikan oleh Charles Brooke

1869 - Saki baki lanun dihapuskan oleh penduduk tempatan di persisiran Tg. Kidurong

1961 - Perayaan hari ulang tahun ke seratus Bintulu diadakan

1975 - Kajian kemungkinan Tg. Kidurong sebagai tapak yang paling sesuai bagi pelabuhan air dalam yang pertama di Sarawak

1978 - Pada 6 Julai penubuhan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) mengikut undang-undang (dalam Warta Kerajaan Sarawak Bah. III Jld. XXXI, No. 2 bth. 21 Jun 1978).

1979 - YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Hussein Onn melawat Bintulu dan merasmikan Jalan Tg. Kidurong yang menelan belanja RM10 juta pada September

1980 - Indeks Bandingan Harga Pengguna (CCPI) yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan 145.7 bagi Bintulu, 142.2 bagi Miri, 103.3 bagi Sibu dan 100 bagi Kuching. Bintulu muncul sebagai tempat yang mahal.

1981 - YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ditemani oleh isteri beliau melawat Bintulu.

1982 - YAB Timbalan Perdana Menteri Dato' Musa Hitam melawat Bintulu

1982 - Projek Gas Cecair Asli Malaysia (MLNG) siap dibina dengan kos RM3 billion

1983 - Pelabuhan Air Dalam Bintulu dan logi LNG telah siap membolehkan penghantaran Kargo LNG yang pertama dibuat ke Jepun

1985 - Loji Baja ASEAN Bintulu siap dibina dengan harga RM739 juta

1986 - Dewan Bintulu mula dibina

1987 - Bintulu menjadi Bahagian yang ke sembilan di Sarawak. UPM Kampus cawangan Bintulu mula sesi pertama dengan sejumlah 700 orang pelajar

1989 - Projek SMDS (Shell) yang menelan belanja RM1.8 billion dilancarkan dengan upacara memeceh tanah oleh YAB Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Hj. Abd. Taib Mahmud

1990 - Perasmian Taman Pertanian Sarawak oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri Hj. Abd. Taib Mahmud bersempena Perayaan Hari Keputeraan DYMM Yang Di-pertuan Agong peringkat Negeri di Bintulu

1991 - Pembukaan rasmi Taman Hidupan Liar Bintulu (TUMBINA) dengan kos RM2.2 juta oleh YAB Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Hj. Abd. Taib Mahmud pada 2 Ogos. Pembukaan Rasmi Estet Perindustrian Kemena (KIE) oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Encik Ghafar Baba

1992 - Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Sarawak di Taman Pertanian Sarawak

Hingga sekarang - Bintulu telah mengalami pertumbuhan perindustrian yang begitu cepat dan ianya dijangka akan terus menjadi sebagai pusat pertumbuhan perindustrian baru di Sarawak.

Dari sebuah pekan kecil, kini Bintulu telah bertukar wajah menjadi bandar perindustrian yang terkenal di rantau ini. Pembangunan di Bintulu sudah menjadi begitu pesat dan maju dalam pelbagai bidang.

Bintulu mula bertukar wajah. Banyak bangunan yang lama telah diganti dengan bangunan yang baru dan moden. Kampung Dagang sudah menjadi pusat kommersil. Keadaan di sekeliling jugadibersihkan untuk memberi keselesaan kepada penduduk di sini.

Pelbagai pokok dan bunga ditanam di pembahagi jalan, di tepi-tepi jalan dan bulatan jalan untuk mengindahkan lagi persekitaran. Jalan raya berkembar dibina untuk menghubungkan bandar Bintulu dan Tanjung Kidurong. Lampu jalan didirikan di sepanjang jalan raya utama untuk mengindahkan lagi suasana pada waktu malam. Rumah-rumah kediaman dan hotel-hotel disediakan untuk pengunjung dari luar. Seperti bandar-bandar lain, pusat membeli-belah tumbuh di serata tempat untuk memenuhi permintaan penduduk.

Bintulu boleh dianggap sebagai sebuah bandar kosmopolitan. Terdapat juga ramai pekerja-pekerja asing di sini. Kedatangan mereka ini secara  langsung menambahkan jumlah penduduk.

Dari sebuah daerah, Bintulu telah diisytiharkan menjadi Bahagian pada 1 Januari 1987. Seterusnya Jabatan dan agensi-agensi kerajaan juga ditingkatkan ke taraf Bahagian.

BDA (Lembaga Kemajuan Bintulu) telah menjadi agensi utama kerajaan untuk menggerakkan pembangunan Bintulu. Era baru bermula pada tahun 1978 dimana projek-projek raksasa mula dibina seperti : Loji Gas Cecair Asli Malaysia yang menelan belanja RM3,000 juta, Pelabuhan Air Dalam Bintulu (RM560 juta), Loji Baja ASEAN (RM739 juta), bekalan air (RM150 juta) dan Universiti Pertanian Malaysia (RM621 juta) yang kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia.

Disamping itu, disediakan juga tapak-tapak perindustrian di kawasan Kidurong untuk menempatkan industri ringan dan berat. Tapak yang turut dimajukan ialah Estet Perindustrian Kemena bagi menempatkan industri-industri berasaskan kayu.

Beberapa tempat peranginan telah dimajukan seperti pantai Similajau dan Pusat Rekreasi Tanjung Batu, Taman Botanikal, Taman Hidupan Liar, Tapak Perkhemahan dan Padang Golf. Bintulu juga berpotensi menjadi pintu masuk ke Belaga menerusi Tubau disamping menjadi pintu masuk perjalanan ke Gua Niah, Taman Negara Lambir dan Bukit Setiam dengan jalan darat. Rumah-rumah panjang Iban dan Kayan yang terletak di pedalaman serta perkampungan tradisional seperti Kampung Kuala Nyalau, Kampung Kuala Segan, Kampung Jepak dan seumpamanya, sering menjadi tumpuan pelancong luar negeri.

Pembangunan yang pesat dalam tempoh dua dekad yang lalu telah menjadikan Bintulu dikenali di seluruh dunia. Penukaran wajahnya akan berterusan pada masa akan datang.

Sumber : Berita Binda

 

Bintulu Development Authority

SarawakTourism.com

 

 

  LAMAN UTAMA 

 

Jabatan Residen Bahagian Bintulu
97000 Bintulu, Sarawak.

Tel: 086-331896    Fax: 086-336620

e-mail: peleadzman@sarawaknet.gov.my